Melalui e-mail bertarikh 26 Mac 2011, e-mail telah diterima mengenai keputusan ke atas permohonan yang dibuat sebelum ini. Alhamdulillah... satu keputusan yang amat positif tetapi apa yang diharapkan adalah satu keputusan yang lebih baik daripada itu.
Pada 27 Mac 2011, aku dah balas balik email tu dan memohon agar permohonan aku diteliti dan dipertimbangkan semula dengan menyebut semula faktor-faktor penting yang perlu diteliti lebih mendalam dan dipertimbangkan sebaik mungkin. Pada hari yang sama, satu lagi email telah dihantar secara peribadi kepada pegawai yang bertanggungjawab untuk menjelaskan dengan lebih terbuka faktor-faktor yang termasuklah isu-isu yang tidak dimasukkan di dalam e-mail rasmi. Tunggang langgang jugak ayat dan habis lintang pukang perkataan sebab menulis sampai 7.35 pagi. Dah dua malam berturut-turut aku tidak tidur malam. Sakit jugak seluruh badan dikerjakanya. Malam ni mesti tidur sebelum pukul 10 pm. Jika tidak, habislah masa tengah kerja esok. Dah lah kesihatan belum pulih 100 peratus.
Lega rasanya sebab dah balas balik e-mail dan ambil kesempatan untuk luahkan apa saja yang terbuku di hati. Sepertimana post sebelum ini...
"...masanya telah tiba..."
Mungkin ini lah masa yang paling sesuai untuk bertindak. Tidak perlu kisah dan peduli jika dikategorikan "selfish", mengada-ngada, "demanding", melawan, ingkar perintah dan apa jua tanggapan negatif yang bakal dilemparkan. Semua ini dilakukan hanya semata-mata demi masa depan aku, keluarga aku dan kemajuan kerjaya aku. Tiada sebarang agenda tersembunyi atau tiada sebarang niat untuk melanggar peraturan. Lagi pun, semua yang aku telah buat adalah mengikut nasihat, pandangan, prosedur dan peraturan yang digariskan oleh mereka. Buat cara aku mengambil tindakan secara 'hentam koromo'. Sebelum buat sebarang keputusan dan bertindak sesuatu, mesti aku akan minta pandangan dan nasihat serta mencari panduan berdasarkan prosedur yang telah sedia ada. Aku rasa tiada sebarang perlanggaran dalam perkara ini.
Bukan hendak mendesak tetapi sekadar ingin meluahkan rasa dan menyampaikan matlamat serta perancangan hidup demi kebaikan diri dan juga membuktikan komitmen terhadap amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan. Kerjaya, masa depan dan keharmonian serta kesejahteraan keluarga adalah sama pentingnya. Kesemuanya perlu diperkemas dengan sebaik-baiknya agar seimbang demi kebahagian berpanjangan.
Memang benar kata kebanyakan orang, masa depan kita sememangnya kita sendiri yang perlu merencanakannya. Tiada siapa yang akan bertanggungjawab ke atas masa depan kita melainkan diri kita sendiri. Seperti juga dalam post sebelum ini, aku pernah katakan...
"...perlukan angin perubahan..."
"...berani berubah untuk berjaya..."
Insyaallah... aku dah berusaha sedaya upaya. Tunggu dan lihat sahaja apakah keputusan yang bakal diterima. Sekiranya masih belum memenuhi kehendak dan bakal merencatkan rancangan dan matlamat yang ingin dicapai, aku perlu bertindak sekali lagi. Tiada siapa yang berhak menghalangnya. Tidak keterlaluan juga aku katakan bahawa, ini adalah hak aku. Masa depan diri sendiri, kerjaya dan keluarga tidak boleh dipandang remeh atau diperjudikan secara sia-sia. Setiap aspek tersebut perlu diperjuangkan setegas yang yang boleh.
Usaha dah dibuat. Doa akan terus dipanjatkan kepada yang Maha Esa. Aku tetap yakin dan terus berani menyatakan bahawa, akan ada keputusan yang lebih positif. Insyaallah...
No comments:
Post a Comment