My First Blog

Saturday, February 26, 2011

Pemikiran Orang Kita...

Salah seorang sahabat karib telah mengetengahkan isu kadar kemiskinan di Malaysia. Sebagai insan biasa, sahabat aku ni telah meluahkan rasa tidak puas hati dengan peratusan kadar kemiskinan yang diumumkan oleh pihak kerajaan. Sahabat aku ni juga telah melahirkan rasa kecewa dengan laporan tersebut lantas membuat perbandingan mengenai jumlah penduduk miskin di kampungnya. Dalam masa yang sama, dengan lantang menyatakan bahawa...

"...kerajaan kita tidak ikhlas..."

Aku bangga dengan sahabat ini kerana berani menyatakan sesuatu yang dirasakan ada kebenarannya. Bagi aku, sahabat ini tidak salah kerana dia berhak memberikan pendapatnya dan mengetengahkan ulasannya. Sebagai sebuah negara demokrasi, bagi aku tiada salahnya. Katalah apa sahaja, biarlah pihak berkuasa mendengar dan berusaha membuat sesuatu dalam isu kemiskinan ini. Apabila aku menyatakan pendapat...

"...negara kita, orang kita lebih baik daripada negara-negara lain termasuklah USA dan Europe..."

Seorang lagi sahabat telah bersetuju dengan pendapat aku. Tetapi, beliau turut mempertikaikan bahawa perbandingan kadar kemiskinan ini hanya dibandingkan dengan negara-negara mundur. Beliau dengan tegas menyatakan pendirian, negara kita perlu membuat perbandingan dengan negara maju sepeti Singapore. Aku semakin bangga kerana semakin ramai yang berani bersuara apatah lagi sahabat-sahabat aku ini yang tergolongan dalam generasi baru dan bakal menjadi pemimpin negara suatu hari nanti Insyaallah... Cumanya, sahabat ini telah memberikan maklumat mengenai kadar persepsi rasuah yang menunjukkan Malaysia lebih teruk berbanding Afrika Selatan... Sememangnya itu lah kenyataan yang telah dikeluarkan secara rasmi. Tiada siapa yang boleh menafikan perkara itu kerana ianya adalah maklumat rasmi. Selain itu, ada juga rakan-rakan lain menyatakan...

"...orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin..."

Satu kenyataan yang klasik tetapi penuh bermakna. Lantas aku memberikan reaksi kepada setiap pendapat yang ada dan memberikan ulasan ringkas. Aku tetap mempertahankan bahawa walau macam mana sekalipun, negara kita tetap yang terbaik. Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, aku berpendapat seperti ini...

"...Dalam isu ini, apa yang paling penting ialah kita mesti berani berubah, berfikiran lebih positif, berpandangan lebih jauh kehadapan dan rebut segala peluang yang ada. Baru lah kita boleh menjadi kaya, hidup senang, mewah seperti orang-orang kaya yang lain. Guna kuasa kita sebagai rakyat untuk lakukan perubahan. Jika kita terus bersikap negatif, kita juga yang rugi. Berfikir dengan lebih positif untuk berjaya dan gunakan segala peluang yang ada untuk lebih berjaya. Jika tidak, kita akan terus rugi dan orang lain yang akan terus senang dan kaya raya. Pucuk pangkalnya adalah bertolak daripada diri kita sendiri. Di samping kita mengeluarkan pendapat, kita perlu mencari dan merebut peluang yang ada. Jika hanya mengkritik tanpa sebarang usaha untuk maju kehadapan, akan tiada maknanya. Oleh itu, dengan sedikit perubahan, selangkah gerakan positif, Insyaallah... kita akan berjaya..."

Pada waktu ini, di Malaysia dah pukul 2.59 pagi. Esok, pasti sahabat-sahabat aku ini akan memberikan maklumbalas. Kita tengok dan lihat bagaimana. Setakat maklum balas yang ada, sahabat-sahabat ini masih perlu banyak membaca, belajar dan mencari pengalaman serta menjadikan segala apa yang berlaku di negara lain sebagai pengajaran... Aku berharap sahabat-sahabat ini dapat membalas dengan nada yang lebih positif dan ada harapan pandang jauh kehadapan.

Insyaallah...



Friday, February 25, 2011

Kereja Perintah

Tiba-tiba teringat kata-kata seorang kawan lama...

"...kereja perintah..." atau dalam bahasa baku, "...kerja kerajaan..."

Betul jugak kawan aku tu cakap, dah kita ni 'kereja perintah' memang kena perintah selalu. Hari-hari mesti kena perintah. Kita pulak terpaksa menerima perintah. Sama ada suka atau tidak ini lah lumrah 'kereja perintah'. Memang selalu diperintah dan terpaksa menerima perintah. Bila difikirkan balik, sampai bila kita nak terima perintah.

Hanya satu jalan, kita mestilah menjadi diri kita sebagai pihak yang memerintah. Baru lah tidak kena perintah dan kita yang akan memerintah. Bagaimana pulak nak jadi seorang pemerintah? Ini lah persoalan dan masalah yang sering dihadapi oleh seseorang tidak suka diperintah. Untuk mengelak daripada terus diperintah, kita mesti menjadi pihak yang memerintah. Selagi kita bekerja di bawah orang lain, selamanya kita akan diperintah dan terpaksa menelan kepahitan kena perintah.

Dengan kata lain, jika tidak mahu diperintah, kita kena buat sesuatu yang membolehkan kita pulak yang menjadi pihak pemerintah. Iaitu... buat lah perniagaan kita sendiri. Perintah lah sepuas hati kita kerana kita yang punya. Bagaimana pulak nak buka perniagaan? Banyak mana pulak kos? Macam mana nak jalan perniagaan? Apakah caranya untuk pastikan yang kita ini menjadi pemerintah yang disegani, dihormati dan dikagumi? Apa pulak jadinya jika kita hanya menjadi pemerintah yang ditakuti dan bukan dihormati?

Jawapan kepada persoalan itu semua, berfikir dengan positif, buangkan negatif, mulakan langkah pertama dengan keyakinan, buangkan segala rasa ketakutan... Insyaallah, kita boleh lakukan...

Insyaallah... 

Abg, Adik, Baby... Ayah Rindu Kalian Semua

Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah SWT.

Selangkah telah bermula. Setapak telah mula menapak. Titik permulaan sudah mula bergerak. Sudah tiba masanya... telah sampai saatnya.

Abg, Adik, Baby... Insyaallah ayah akan bersama dengan kalian tidak lama lagi. Sama-sama kita berdoa agar segala urusan dipermudahkan. Seandainya menjadi kenyataan, kita tetap juga berjauhan tetapi sekurang-kurangnya tidak sejauh ini. Segala apa yang telah Ayah lakukan adalah demi untuk anak-anak Ayah. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati serta memudahkan perjalanan hidup kita.

Amin...

Kelam Kabut...

Gara-gara tindakan yang telah aku buat, kelam kabut jugak orang-orang kat pejabat ni. Terasa bersalah pulak sebab tengok dia orang kelam kabut begini sampai pelbagai andaian telah dibuat. Walhal... dalam surat tu tiada langsung aku nyatakan mengenai sesiapa dan ditujukan kepada sesiapa. Walaupun, keputusan nekad yang aku buat sebenarnya turut dipengaruhi oleh sesuatu yang telah lama aku pendam dan diamkan. Apa yang pelik, mengapa ada orang yang bersangka yang bukan-bukan sedangkan ianya tidak pernah dinyatakan. Kenapa perlu terasa... Adakah mereka perasan mengenai perkara-perkara itu? Kalau dah perasan, mengapa tidak berusaha untuk membetulkan keadaan. Kenapa mesti mahu mempertahankan perasaan ego dan bongkak serta tinggi diri yang tiada kesudahan itu. Kenapa pula perlu takut. Apa yang paling melucukan, orang-orang ini seperti takut dan seram dengan bayang-bayang sendiri. Yang paling lawak, kenapa perlu suruh aku bagi tau...

"...Andai kata pihak di sana bertanya, tolong katakan yang kita tiada masalah dari segi hubungan dan kerja..."

Nak muntah mendengarnya... tau pun takut. Tapi... yang peliknya dalam surat tu aku tak cakap apa pun. Cuma aku nyatakan mengenai naluri aku sebagai seorang ayah yang mempunyai rasa tanggungjawab tinggi terhadap anak-anak, isteri dan keluarga. Mengapa mereka boleh berfikir sampai ke tahap itu. Apa maknanya dan kenapa mereka terus membuat andaian sebegitu.

Hakikatnya... itu lumrah manusia. Sukar untuk menelaah diri sendiri. Keras hati untuk bermuhasabah dan menyelami kelamahan diri. Terlalu sedikit manusia yang mahu mengaku kesilapan dan berlembut dengan kekurangan diri. Terlalu ramai yang lebih gemar bersikap sombong, tinggi diri, egois, dan merasa diri serba lengkap walhal mereka hanya manusia biasa dan semua manusia hanyalah hamba biasa. Bak kata pepatah...

"...dah terhantuk baru ternganga..." "...mendongak ke langit sampai lupakan bumi..."

Aku tidak mahu menoleh kebelakang lagi. Aku tidak mahu lagi segala keikhlasan, keredaan, keterbukaan dan tindakan profesional aku dijadikan barang mainan, diambil kesempatan oleh orang-orang yang tidak tahu menghargai kebaikan ini. Aku amat yakin bahawa hanya Allah SWT sahaja lah yang maha berkuasa di atas segala-galanya dan Maha Pengasih serta Maha Penyayang. Aku dah banyak bersabar dan berusaha, biarlah Allah SWT yang menentukannya. Hanya Allah SWT yang Maha Mengerti dan Maha Mengetahui segala-galanya. Aku mengharapkan sesuatu yang baik dalam masa beberapa hari ini.

Insyaallah...

Wednesday, February 23, 2011

Macam Mana Maju???

Sakit jugak kepala hotak ni... dah takde benda nak buat dok selalu fikir macam-macam. Bila jiwa dah tak tenteram, hati dah tak tenang, kepala pun dah bengang dan mungkin ini lah masanya...

Ada seorang kawan kata "... kalau aku, makin dia keras, aku keraskan lagi..." dan juga kata "... takkan kerana dia ko nak mengalah..."

Seorang lagi kata "...mana-mana pun sama je, cuma tpt lain ni kurang stress..."

Yang ini pulak kata "...sabar lah sikit, aku pun dah biasa kena dulu, memang begini lah, kita kena bertahan..."

Ramai yang kata "...buat lah keputusan yang terbaik, didoakan agar segala yang terbaik untuk semua orang..."

Kesemua situasi tu menggambarkan apa yang sedang aku rasa dan alami ketika ini. Tidak pernah aku rasa seteruk ini walaupun sebelum ini aku dah hadapi cabaran dan dugaan yang lebih besar. Beberapa tahun dulu, aku boleh gagahkan jugak sampai boleh bertahan lah lebih 5 tahun. Tetapi kali ini dugaan tu agak lembut tetapi menusuk hati. baru je masuk ke 1 tahun 1/2, dah tak larat dan memang surrendur kata orang putih.

Bak kata kakak PA "...benda-benda gini lah yang boleh buat makan dalam..."

Itu lah yang sakit sangat tu. Akibat kesakitan yang menusuk dalam itu, aku akhirnya nekad buat satu keputusan. Sudah sampai masanya. Sama ada nak beralih arah atau berundur dari lapang mencari padang tempur yang baru. Panggilan telefon telah dibuat, surat dah pun dihantar, hanya menunggu reaksi dan jawapan. Apa yang lebih pasti, berundur tidak semestinya mengalah, beralih arah bukannya pengecut dan mengeraskan diri tidak semestinya akan jadi juara. Ada baik nya, ambik keputusan berundur demi kebaikan semua pihak dan meredakan diri untuk mencari jalan keluar yang lebih baik. Tidak ada gunanya mengeraskan diri jika ianya akan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan orang lain turut terjejas sama. Alangkah lebih baik berundur jika ianya mendatangkan manfaat yang lebih sempurna untuk diri sendiri dan bermanfaat juga untuk orang lain.

Insyaallah... jika buat sesuatu yang baik dan turut memberikan manfaat pada orang lain, Allah SWT akan melimpah lagi lebih banyak keberkatan dam kemurahan rezeki kepada kita...

Percaya lah... jika kita membuat orang lain susah dan hilang manfaat yang sepatutnya orang lain dapat, Allah SWT akan memberikan balasan sewajarnya...

Kita juga telah diajar bahawa kita mestilah sering berusaha untuk memajukan diri dan usaha dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh. Setelah semua usaha dibuat sedaya upaya kita, serahkan kepada Allah SWT untuk menentukanya...

Insyaallah...

Sunday, February 6, 2011

Rancangan Masa Depan Untuk Teruskan Kehidupan

Memang dah lama sangat tak update blog ni. Sibuk sangat ditambah pulak banyak habiskan masa dan tenaga untuk 'adjust' hidup seorang diri di Peru ni. Sejak kahwin hingga anak 3 aku memang tidak pernah duduk berjauhan dengan isteri dan anak-anak tercinta. Entahlah... dugaan datang secara tiba-tiba yang memaksa aku dan isteri membuat keputusan untuk kebaikan dan masa depan anak-anak... "Anak-anak didahulukan, Isteri diutamakan"...

Bila dah duduk seorang diri... mula lah fikir macam-macam. Berjuta-juta idea yang disulami angan-angan menerjah minda... cari punya cari, fikir punya fikir, ditambah pulak dengan rasa yang semakin tidak seronok dan kurang semangat nak terus kerja dengan orang (kerja makan gaji), aku mula memikirkan mungkin sudah tiba masanya aku nak kerja sendiri. Mula lah aku tanya semua kawan-kawan, teman-teman, rakan-rakan dan mula memasang angan-angan. Aku rasa, benda yang aku yakin dan boleh buat ialah mungkin untuk menceburi bidang penternakan. Dari dulu lagi aku dah mula baca dan kumpul maklumat mengenai penternakan kambing. Jika berjaya, nak ternak lembu. Kalau maju, nak ternak ayam belanda. Kalau dah yakin boleh maju lagi, nak ternak arnab pulak atau unggas-unggas yang boleh memberikan hasil. Andai kata memang dah benar-benar berjaya, mungkin boleh fikirkan untuk keluarkan produk tertentu daripada semua ternakan tersebut. Bila pasang angan-angan, memang nampak macam semuanya mudah dan senang.

Tapi, hakikatnya memang tidak semudah yang difikirkan. Segala-galanya perlukan modal wang, pengetahuan, keyakinan dan kesungguhan serta keinginan yang tinggi. Untuk permulaan... bina fikiran yang positif dan bentuk jiwa dengan keyakinan serta banyak berdoa kepada yang Maha Esa mohon pedoman. Insyaallah... boleh.