My First Blog

Monday, August 30, 2010

Dugaan Lagi...

Alhamdulillah... dugaan demi dugaan datang menimpa. Aku redha dan amat percaya bahawa dugaan ini adalah kurniaan Allah SWT. Aku yakin bahawa dugaan ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Aku panjatkan rasa syukur atas dugaan ini kerana sedar bahawa dugaan akan datang dengan pahala serta keberkatan sekiranya aku tabah dan redha dengan ketentuan-Nya... Insyaallah

Hari Khamis, 26 Ogos 2010 adalah tarikh yang benar-benar mencabar dan menduga kekuatan iman. Doktor telah mengesahkan bahawa kandungan yang dijaga rapi oleh isteri ku tercinta selama lebih kurang 3 bulan telah gugur. Sebagai manusia biasa yang lemah, aku berasa amat kecewa. Kerana, harapan cukup besar untuk menimang cahaya mata keempat yang sebelum ini dijangka bakal anak lelaki. Andaikata semuanya selamat, aku akan mendapat permata hati 2 orang putera dan 2 orang puteri. Bahkan nama pun sudah dipilih sejak awal iaitu "Zhafri Mubashir" sempena nama anak sulung aku "Zharfan Mubashir".

Tetapi, Allah SWT lebih Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Aku dan isteri redha dengan takdir ini. Lebih-lebih ianya berlaku di bulan yang mulia bulan Ramadhan Al-Mubaraq. Aku amat yakin akan ada hikmah di sebalik semua ini. Sememangnya Ramadhan kali ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Apakah yang ada di sebalik semua ini. Aku sebagai insan biasa yang lemah tidak mampu meramalkan apa yang ada di di sebalik dugaan yang berat ini. Apa yang aku yakin ialah, Allah SWT Maha Penyayang dan Maha Mengasihani...

Monday, August 23, 2010

Tak Sanggup Memperjudikan Masa Depan Anak-Anak

Ramadhan kali ini benar-benar mencabar. Bahkan sebelum Ramadhan lagi aku sudah mula merasai bahang cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi. Benar kata orang-orang pandai, dugaan dan cubaan ini bermakna Allah SWT itu sayang pada kita. Insyaallah...

Pelbagai dugaan yang tidak sedikit hebatnya telah dirempuh. Sebagai manusia biasa, aku hampir-hampir mengalah. Tetapi... Allah SWT itu Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Pesanan penuh hikmat Nabi Muhammad SAW dipegang sekuat-kuatnya. Alhamdulillah... dengan mendekatkan diri kepada Al-Quran dan Sunnah, hati kembali tenang meskipun masih ada sisa-sisa ketidaktentuan. Bila tiba Ramadhan Al-Mubaraq yang penuh keberkatan, ketenangan diri semakin memuncak. Alhamdulillah... syukur kehadrat Ilahi...

Namun, sebagai manusia biasa, hamba yang hina, aku cukup tertekan bila diuji sekali lagi. Bermula dari kemalangan, ditambah pula dengan masalah sekolah anak, aku tiba-tiba menjadi lemah dan layu. Hampir-hampir aku lupa diri lantaran terlalu keliru. Mungkin dugaan seperti ini agak ringan bagi orang lain. Bagi aku dan isteri, dugaan ini cukup berat. Tambahan pula aku sudah cukup muak dan kecewa dengan sikap serta tingkah laku masyarakat Peru. Semakin hari kehidupan di sini semakin sukar dan aku menjadi semakin tertekan dengan suasana hidup di sini. Perbezaan waran kulit dijadikan ukuran. Status dan kekayaan menjadi pegangan. Pilih kasih atau double standard (kata orang putih) menjadi mainan. Itu lah punca segala-galanya masalah sekolah anak aku. Kalau nak dihuraikan masalahnya cukup panjang dan tidak guna diperbesarkan. Kerana, akan menambah kekecewaan dan kelukaan. Cukup aku katakan... masa depan pendidikan anak-anak tidak akan aku perjudikan.

Apa yang ada dalam minda mereka-mereka ini. Walhal negara ini tidak sehebat mana. Memang tiada keistimewaan apa pun. Bak kata orang, berlagak saja lebih tapi negara masih jugak mundur. Tak payah nak dibandingkan dengan Malaysia, sesama jiran negara latin pun Peru tiada apa-apa. Entah apa yang mereka nak bangga. Malaysia 100% jauh lebih maju dan canggih serta moden. Jangan lah nak disamakan mereka dengan negara kita. Sering aku luahkan kepada rakan-rakan, di sini semua nya boleh dikatakan tiada masalah. Cuma satu masalah besar iaitu sekolah. Aku tidak mahu memperjudikan masa depan pendidikan dan didikan agama anak-anak.

Keputusan yang cukup berat bakal diambil. Berjauhan dengan keluarga. Tetapi demi masa depan pendidikan dan didikan agama anak-anak. Insyaallah...dengan keyakinan yang ada serta niat murni yang terpatri, Allah SWT akan memberkati dan mempermudahkan segala urusan.

Amin....

Thursday, August 5, 2010

Pening!!!

Pening betul kepala ni. Dah dekat 2 bulan ni tidur tak lena, hati tak tenteram, jiwa tak tenang dan macam-macam. Perkara utama yang difikirkan ialah masa depan anak-anak. Ayah dan ibu mana yang tak pening serta risau memikirkan masa depan anak-anak. Lebih-lebih lagi anak-anak aku belajar di sekolah di luar negara. Kalau di Amerika, UK atau negara-negara lain mungkin kurang sedikit perasaan gundah gulana ini.

Tapi... anak aku bersekolah di Peru di tempat aku bertugas sekarang. Disebabkan oleh sikap dan sifat orang-orang di sini sejak akhir-akhir ini aku dan isteri semakin menjadi risau. Mereka tidak menghormati perkara-perkara sensitive seperti kepercayaan, agama, budaya dan kehendak peribadi orang lain terutamanya kita dari negara asia ini. Tidak kesemua mereka tetapi disebabkan oleh segelintir masyarakat mereka aku mula gusar dan bimbang akan masa depan anak-anak. Apatah lagi bila melihat komuniti Islam di sini yang agak kurang menekankan pendidikan agama, hal makan minum, didikan Al-Quran dan sebagainya. Makin bertambah lah beban kebimbangan di jiwa. Kalau kedai orang muslim pun ada jual babi, ayam, kambing dan daging tidak halal macam mana tu. Apa yang aku boleh kata. Pening!!!!!!!!!!!!! 

Aku ada masa 2-3 bulan lagi untuk membuat satu keputusan yang terlalu berat tetapi demi kebaikan dan masa depan anak-anak. Biarlah apa orang akan kata, itu kata-kata mereka. Apa yang lebih penting, aku ingin masa depan anak-anak terbina dan terbela. Bagi aku, masa depan anak-anak bukan sekadar membekalkan dan menabung wang ringgit semata-mata. Perlu difikirkan sedalam-dalamnya ialah pendidikan agama dan didikan Al-Quran serta Sunnah yang kekal abadi. Bukan lah bermakna aku menidakkan perlu wang ringgit dalam dunia yang semakin mencabar ini. Wang ringgit memang wajib tetapi memberikan pendidikan akhirat itu juga lebih daripada wajib.

Cuma aku masih berkira-kira... mampu kah aku dan isteri untuk menghadapi situasi itu nanti. Terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Keputusan mesti lah yang terbaik dan bakal diharungi bersama dengan kekentalan jiwa. Keputusan juga tidak dapat lari daripada pengorbanan wang ringgit yang sememangnya penting dalam menentukan nasib dan masa depan keluarga selepas ini. Kita juga tidak akan pernah tahu apa yang bakal berlaku. Pengorbanan masa, tenaga, kepercayaan, jarak, hubungan kawan-kawan dan masa perlu dipertimbang sehalus halusnya. Jika tidak di kaji dan dikira sebaik-baiknya, sudah pasti masalah besar boleh menimpa. Cuma aku sekeluarga amat berharap dan berdoa semoga diberikan perlindungan oleh Allah SWT dan mampu membuat satu keputusan yang terbaik demi masa depan anak-anak, keluarga dan semua pihak...

Berat, pening, gusar, risau, tak tenang dan sebagainya bermain-main di minda dan jiwa...