Alhamdulillah... dugaan demi dugaan datang menimpa. Aku redha dan amat percaya bahawa dugaan ini adalah kurniaan Allah SWT. Aku yakin bahawa dugaan ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Aku panjatkan rasa syukur atas dugaan ini kerana sedar bahawa dugaan akan datang dengan pahala serta keberkatan sekiranya aku tabah dan redha dengan ketentuan-Nya... Insyaallah
Hari Khamis, 26 Ogos 2010 adalah tarikh yang benar-benar mencabar dan menduga kekuatan iman. Doktor telah mengesahkan bahawa kandungan yang dijaga rapi oleh isteri ku tercinta selama lebih kurang 3 bulan telah gugur. Sebagai manusia biasa yang lemah, aku berasa amat kecewa. Kerana, harapan cukup besar untuk menimang cahaya mata keempat yang sebelum ini dijangka bakal anak lelaki. Andaikata semuanya selamat, aku akan mendapat permata hati 2 orang putera dan 2 orang puteri. Bahkan nama pun sudah dipilih sejak awal iaitu "Zhafri Mubashir" sempena nama anak sulung aku "Zharfan Mubashir".
Tetapi, Allah SWT lebih Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Aku dan isteri redha dengan takdir ini. Lebih-lebih ianya berlaku di bulan yang mulia bulan Ramadhan Al-Mubaraq. Aku amat yakin akan ada hikmah di sebalik semua ini. Sememangnya Ramadhan kali ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Apakah yang ada di sebalik semua ini. Aku sebagai insan biasa yang lemah tidak mampu meramalkan apa yang ada di di sebalik dugaan yang berat ini. Apa yang aku yakin ialah, Allah SWT Maha Penyayang dan Maha Mengasihani...
No comments:
Post a Comment